Monday, November 2, 2009

Kuasa Berfikir.........Siapa Pula tukang Fikir???



"Telling the truth is always revolutionary"
– Antonio Gramsci (1891 – 1937)



Setiap tempat dan waktu punya cabarannya sendiri. Setiap zaman pasti berdepan dengan waktu – waktu sukar yang menuntut jalan keluar. Setiap masyarakat pasti dihadapkan dengan permasalah sosial rumit yang mendesak jawapan. Permasalahan itu boleh hadir dalam berbagai rupa – kemiskinan, kebuluran, penindasan, perlecehan, ketidakadilan – dan saat itu semua akan bertanya, mengapa hal ini terjadi? Bagaimana mengatasinya? Apakah pilihan yang ada? Dan yang acap diulang – soalan yang turut mendasari seluruh kajian ini – pada siapakah soalan ini ditujukan?


Pastinya akan ada satu kelompok daripada bahagian masyarakat itu yang mengunakan fikiran mereka untuk memahami masalah sosial tersebut, mencerakin, menghubungkannya dengan hal –hal lainnya lalu merumuskan pilihan – pilihan yang ada sebagai ramuan penawar kesakitan sosial itu.


Kelompok ini sering ada dalam kalangan masyarakat dan keberadaannya itu lebih jelas ketika wujud ketempangan sosial. Mereka ini yang disebut dengan pelbagai panggilan – cendekiawan, alim ulama, inteligensia, intelektual, pemimpin – sering melatari setiap evolusi mahu pun revolusi sosial dan politik. Namun kerap juga peranan intelektual ini tidak dihargai pada zamannya; Ibnu Khaldun menulis karyanya, Muqadimmah seawal kurun ke 16, namun minat antarabangsa terhadap karya besar ini hanya terselah pada abad ke 20. Begitu juga dengan Das Kapital menjadi besar berpengaruh bukan pada hayat Marx, malah dia sendiri tidak menjangkakannya.

Oleh sebab sifat intelektual yang mengilhamkan perubahan, kelompok ini sering berhadapan dengan tekanan autoriti kekuasaan yang cenderung mengekal dan mengukuhkan status quo mereka. Tekanan – tekanan ini membentuk set sikap intelektual terhadap kekuasaan dan cara mereka mendepani dan menanganinya.


(Syed Husein) Alatas dalam tulisannya yang penting dalam memahami intelektual di Malaysia telah membezakan dengan jelas antara inteligensia yang mempunyai kelulusan formal semata tetapi tidak dapat mencerap apatah lagi menganalisa persoalan di luar bidang pekerjaan mereka. Berbanding dengan intelektual yang mempunyai daya pemikiran tinggi dan kritis membahas persoalan masyarakat dan mempunyai kefahaman yang luas terhadap perkara di luar bidang mereka dan manpu mengaitkanya Alatas mengariskan enam ciri intelektual iaitu, mereka direkrut daripada latar pendidikan dan kelas yang berbeza, berada dalam kalangan pendukung atau penentang gerakan kebudayan dan politik, umumnya bukan buruh tetapi sebahagian besarnya menjadi penulis, dekan , penyair, wartawan dan sebagainya, sampai batas tertentu mereka menjauhkan diri daripada masyarakat, tidak hanya tertarik kepada hal yang teknis dan mempunyai perspektif yang meluas dalam bentuk hubungan yang menyeluruh, serta kebiasaanya mereka adalah kelompok kecil dalam masyarakat.


Dalam bidang pemikiran masyarakat, beliau selalu bertarung secara terbuka dalam media dan medan-medan lain melawan kejumudan atau apa yang beliau istilahkan sebagai ‘bebalisme’. Tugas memahami watak tertawan ini perlu bagi keperluan tesis kerana kolonial juga sebahagian daripada bentuk – bentuk kekuasaan yang harus dinilai hubungannya terhadap intelektual Alattas dalam bahasanya menyatakan:


“Kita menyaksikan gejala serupa dalam masyarakat membangun. Universiti didirikan tanpa semangat intelektual. Birokrasi diperkenalkan tanpa mengikuti tatacara yang tegas dan meluas akan asas-asas kenaikan pangkat kerana jasa, kecekapan dan sikap pelayanan terhadap masyarakat. Demokrasi berparlimen diperkenalkan tanpa semangat ketentuan yang bersih, pemilihan jujur dan rasa tanggungjawab sejati kepada prinsip-prinsipnya. Ilmu pengetahuan diperkenalkan, sebagaimana dikatakan Afghani, tanpa semangat menyelidik. Sifat proses pemodenan yang tidak lengkap, bahkan tanpa semangat, merupakan penyebab keterbelakangan masyarakat membangun. Tidak ada revolusi intelektual dan falsafah yang mendahului pemodenan dan proses pembangunan. Sebab dari semua ini adalah tiadanya sejumlah kaum revolusioner yang cukup besar.”


Mengikut sudut pandang Ali Shariati, golongan intelektual haruslah terdiri daripada mereka yang dapat membedah kondisi masyarakatnya lalu membangukan teori mereka sendiri berdasarkan keperluan tempatan. Bukannya mereka yang hanya bersandarkan kepada kefahaman teori yang disalin daripada Eropah kerana Eropah mempunyai pengalaman dan sejarah yang berbeza.


Intelektual juga harus mampu memahami punca masalah masyarakatnya, dengan cara sentiasa bersama – sama mereka. Kefahaman yang benar hanya akan terhasil apabila seorang pemikir itu hidup di tengah – tengah masyarakatnya (bukannya mengasingkan diri di universiti atau mana – mana institusi penyelidikan) dan berbahasa dengan bahasa masyarakatnya.


Intelektual yang berfungsi juga terdiri daripada mereka yang dapat melorongkan jalan keluar daripada polemik sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Mereka juga mampu untuk menggerakkan massa untuk berubah baik melalui idea mahupun aksi. Tuntasnya, Shariati merumuskan intelektual adalah mereka yang dapat berbicara dalam bahasa yang persuasive kepada masyarakatnya dan mengilhamkan jalan – jalan menuju perubahan yang baik.


Intelektual bagi Shariati haruslah datang daripada kehendak dan keperluan masyarakatnya. Seorang yang ingin dinilai sebagai intelektual mesti mempunyai korpus pengetahuan yang luas dan jika mampu mendalam dalam setiap bidang. Bahan bacaan kuno hinggalah teori – teori kini daripada Timur hingga ke Barat mesti dicerap dan dihadamkan oleh para intelektual agar mereka dapat memperluaskan perspektif mereka dan tidak bersikap bias terhadap mana – mana pandangan. Intelektual bagi Shariati haruslah datang daripada kehendak dan keperluan masyarakatnya.


Edward W. Said mendefinisikan intelektual sebagai individu yang punya bakat untuk mengartikulasikan pandangan, sikap atau perspektifnya kepada awam. Edward W. Said banyak mengutip pandangan Antonio Gramsci – salah seorang idolanya – apabila memberi konseptual intelektual. Di dalam buku Gramsci yang berjudul Selections From Prison Notebooks (1978), Gramsci mengatakan "semua orang adalah intelektual, tapi tidak semua orang memiliki fungsi intelektual dan dalam setiap ranah pekerjaan pasti akan terbentuk pemikir dan pendobrak kekalutan massa."


"Each man … carries on some form of intellectual activity, that is, he is a ‘philosopher’, …he participates in a particular conception of the world, has a conscious line of moral conduct and therefore contributes to sustain a conception of the world or to modify it, that is, to bring into being new modes of thought… All men are intellectuals . . . but not all men have in society the function of intellectuals. Thus, because it can happen that everyone at some time fries a couple of eggs or sews up a tear in his jacket, we do not necessarily say that everyone is a cook or a tailor."

Oleh: Harisz (sumber: diskopi.wordpress.com

P/s Aku rasa dalam gerakan islam Seperti di malaysia PAS perlu melihat siapa yang patut menjadi tukang fikir dalam melakukan pengislah dalam mencorak politik Malaysia.. Zon peperangan pemikiran dan idea yang berlaku di dalam politik Malaysia mendesak rakyat peka melihat dari segala sudut apa yang di lontarkan oleh parti yang bertanding dalam menjamin kehendak mereka..maka di sini perlukan pemikir untuk melaksanakan tugas memikir.....
Gerakan Islam melibatkan diri dengan demokrasi, bukan bermakna ‘beriman’ dengannya, tetapi sekadar ‘memperalatkannya’ dalam usaha hendak menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan cara yang lebih luas dan lebih berkesan. Lalu mari kita tanyakan, di mana letak duduknya para pemikir di Malaysia ini dalam menganjurkan transformasi politik, sosial, dan ekonomi???? Seorang pemimpin buka sekadar perlu bijak berpidato,berhujah dan berkarisma tapi juga perlu bijak dalam berfikir.. berfikirlah dengan mengunakan akal tapi awas kalau ada yang berfikir dengan nafsu kerana hanya untuk menang.....


No comments:

Post a Comment