Tuesday, August 18, 2009

Siri 4 - GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

ISLAM MANHAJ PERUBAHAN

Satu daripada ciri-ciri Islam ialah ianya bersifat "merubah". Ia menolak cara menempel atau memperbaiki. Ia tidak rela dengan penyelesaian separuh-separuh atau sesuku-sesuku, atau ia tidak ingin mengharuskan hidup bersama jahiliah.

Firman Allah swt:

"Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan jadilah agama itu bagi Allah kesemuanya " S. 2. 193

Manhaj Rasul adalah Perubahan

Manhaj Rasulullah saw. dalam menghadapi jahiliah adalah bersifat 'taghyir' (merubah). Tatkala orang orang Quraisy menemuinya untuk berkompromi supaya Rasulullah menyembah tuhan mereka selama sebulan dan sebagai balasan mereka akan menyembah Tuhan Muhammad pula selama sebulan yang lain, Al-Quran secara tegas menurunkan ayat:

"Katakanlah: `Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Kamu dengan agamamu, dan aku dengan agamaku. " S. 109. 1 - 6

"Maka kerana itu serulah (mereka kepada agama itu) dan tetaplah sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan katakanlah: `Aku beriman kepada semua kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil antara kamu. Allahlah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepadaNyalah kita kembali." S. 42. 15

Kedudukan Umat Islam Mewajibkan Perubahan

Perubahan wajib sebagai suatu kemestian yang "dharuri" dilakukan oleh para pemuda Islam bagi menghadapi cabaran zaman, bagi menghadapi gelombang materialisme dan atheisme yang mengancam kewujudan Islam.

Pandangan yang mendalam tentang kedudukan Umat Islam di setiap tempat mengukuhkan lagi keperluan mempersiapkan pemuda Islam dengan persiapan yang mencukupi syarat untuk menunaikan tugas perubahan Islam yang dicita-citakan, malah ia menjadi suatu tanggungjawab ugama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudah-mudahkan.

Falsafah Perubahan Islam

Perubahan Islam yang dicita-citakan itu bukanlah satu falsafah yang berbelit-belit sebagaimana yang difahami oleh setengah orang. Ia merupakan falsafah perubahan dalam Islam. Secara ringkas falsafah ini terungkap dalam kata-kata Rubi'e bin `Amir kepada Rustam, ketua angkatan bersenjata Farsi, apabila ditanya sebab kemaraan orang-orang Islam:

"Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam. Maka kami diutuskan dengan agama Allah kepada makhlukNya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanahair mereka dan sesiapa yang enggan kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah dan dijanjikan."

P/S- siri seterusnya akan di post jika ada kelapangan masa dan waktu. ISLAM ITU MUDAH, KITA YANG MENJADIKAN IA RUMIT..

No comments:

Post a Comment